Friday, November 24, 2023

Kepercayaan melalui ilmu metafizik

Soalan: Apakah hukum mempercayai ramalan nombor, money magnet atau tarikh tertentu melalui ilmu metafizik?

Jawapan:

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan metafizik sebagai falsafah mengenai segala yang di luar alam biasa. Di dalam Bahasa Arab, ilmu metafizik dikenali sebagai ilm ma ba’da al-ṭabīʿah. Metafizik adalah satu cabang falsafah yang mengkaji tentang perkara-perkara seperti sifat realiti, apa yang wujud di dunia ini dan susun aturnya. Antara ilmuwan Islam yang membahaskan perihal metafizik adalah Al-Kindi dalam Kitab fi Falsafat al-UlaRisalah fi al-Ibanah ‘an Sujud al-Jirm al-Aqsa wa Ta’atihi Lillah dan Risalah fi Kammiyyat Kutub Aristatalis wama Yuḥtaju ilayhi fi Taḥsil al-Falsafah. Begitu Ibn Rushd dalam Tafsir Ma’ Ba’d Tabi’at.

Metafizik juga adalah kajian tentang alam ghaib, fenomenanya yang dicerap di alam nyata (secara langsung atau tidak) dan kaitannya dengan hukum-hukum tabi’e alam fizikal. Metafizik mengutarakan soalan-soalan seperti:

  • Apa itu kebenaran?
  • Adakah Tuhan wujud?
  • Siapa itu manusia?
  • Apakah itu kebebasan manusia?
  • Adakah dunia ini semata-mata terdiri daripada jisim sahaja?
  • Adakah manusia mempunyai akal? Apakah hubungan antara akal dan tubuh?

Justeru, secara khususnya metafizik tidaklah hanya membahaskan tentang nombor dan huruf bagi tujuan ramalan sebagaimana kefahaman segelintir masyarakat kita. Ia satu ilmu yang sangat luas mencakupi perbahasan ghaibiyyat dan alam tabi’e dan bukan semata-mata berkaitan ramalan masa depan. Ilmu penggunaan nombor dan huruf bagi tujuan ramalan lebih dikenali sebagai numerologi.

Tanpa menafikan ada sebahagian ulama’ yang menggunakan ilmu abjad/huruf/nombor ini untuk ikhtiar rawatan, ia sebenarnya boleh juga membawa kemudaratan bagi orang awam jika disalahfahami ilmu abjad/huruf/nombor ini sebagai musabbib al-asbab sekiranya terjadi kesembuhan.

Masa depan seseorang adalah termasuk dalam hal ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

(Surah al-A’raf: 188)

 Kami amat khuatir perbuatan tersebut menghampiri amaran Nabi SAW dalam sabdanya:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang datang menemui penilik atau peramal nasib lalu mempercayai apa yang diberitahu olehnya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad”

(Riwayat Ahmad, no. 406)

Sabda Nabi SAW:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada bomoh, lalu bertanya kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”

(Riwayat Muslim, no. 4144)

Menurut Imam al-Nawawi: “Adapun maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang ia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Lihat Syarh Shahih Muslim, 14/227)

 

Kesimpulan

Firman Allah SWT:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Katakanlah: “Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah. ”

(Surah al-Naml: 65).

Kami cenderung untuk menyatakan bahawa mempercayai ramalan nombor, money magnet, amalan “cium duit”, sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa di sisi Islam. Begitu juga tidak ada nombor-nombor tertentu yang memberi aura berbeza sebagaimana yang dinyatakan oleh segelintir masyarakat kita dalam program-program motivasi.

Dalam masa yang sama, larangan ini juga dimasukkan dalam Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam yang dikeluarkan oleh  JAKIM iaitu: Tidak menggunakan apa jua bentuk atau kaedah yang mempunyai unsur-unsur meramal nasib atau masa hadapan seperti kaedah numerologi, rahsia tarikh lahir, matrix code, rahsia abjad, rahsia tahi lalat,rahsia tulisan tangan, ilmu astrologi dan seumpama dengannya.

Semoga kita menginsafi akan kepentingan menjaga aqidah dan lebih berhati-hati ketika melibatkan diri dalam apa-apa program training dan motivasi.


kredit kepada : https://www.muftiwp.gov.my/ms/



Thursday, November 23, 2023

Apa Itu Metafizik? | Apakah Maksud Metafizik? | Pengenalan Metafizik dan Kaitannya dengan Pernomboran (Numerologi)

Assalamualaikum guys..Sebelum saya berkongsi apa itu metafizik, saya nak mengucapkan terima kasih kepada semua peminat ilmu metafizik yang singgah ke blog saya.. saya adalah salah seorang peminat ilmu metafizik pernomboran tetapi saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Saya juga ingin memberi klarifikasi bahawa saya bukanlah penasihat dalam bidang ini tetapi saya lebih kepada berkongsi pengetahuan ini di dalam blog personal dan tiktok saya berdasarkan hasil pembacaan dan kelas yang saya ikuti dan mengkaji dalam kaedah tersendiri semata mata.

Saya suka membaca ilmu metafizik pernomboran kerana saya suka mengetahui tentang hal hal yang berkaitan dengan personaliti individu dan diri sendiri.Saya mengamalkan ilmu yang diperolehi sejak tahun 2004 ya. Oleh itu saya membuat keputusan untuk kongsikan di blog ini. Insya Allah saya akan terus terusan berkongsi tentang ilmu ini dari masa ke semasa. Mungkin bermanfaat kepada pembaca dan pengunjung. OK! Tanpa ber basa basi banyak sangat, saya teruskan topik kita pada kali ini, iaitu apakah maksud metafizik dan apa sebenarnya metafizik?

Metafizik merupakan ilmu yang sangat luas dan abstrak. Ia adalah ilmu di bawah cabang ilmu falsafah di mana ia adalah kajian mengenai sesuatu yang luar biasa, hal semulajadi yang berlaku dalam dunia realiti dan mengkaji sesuatu persoalan asas pada zaman kuno. Ia adalah satu ilmu yang mengkaji sesuatu untuk dirungkai seperti bagaimana sesuatu itu boleh terjadi, apakah yang menjadikan sesuatu? atau mengkaji sesuatu hal yang tidak boleh berubah. Sebagai contohnya, kajian mengenai apakah hubungan antara minda atau akal dengan tubuh badan atau fizikal.

Dengan erti kata lain, bidang ini membincangkan hal hal mengenai menjawab segala persoalan yang muncul pada zamannya. Termasuklah tentang ruang dan waktu. Ermphh...atau lebih jelas kalau saya menggunakan ayat "Another Dimension" = Dimensi yang lain. Lapisan lain atau...la.. susah nak sebut..Contoh yang boleh difahami adalah ia seperti dalam filem Dr. Strange. Ingat tak guru kepada Dr. Strange yang digelar "Ancient One"? Macam mana dia jelaskan mengenai sesuatu di dimensi lain? Jadi, lebih kurang macam tu la.

Keluasan ilmu metafizik ni merangkumi hal hal ghaib, fenomena yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, sesuatu yang bukan biasa seperti aura, tenaga, frekuensi, gelombang dan banyak lagi. Agak sukar untuk memberikan maksud yang spesifik kerana ilmu ini terlalu luas.

Metafizik juga merupakan cabang utama dalam ilmu falsafah di mana ilmu ini sudah sekian lama dikaji oleh ramai tokoh falsafah dari sebelum masihi lagi. Pada zaman purba atau zaman kuno, Antara persoalan persoalan yang dikaji oleh tokoh falsafah pada zaman tersebut adalah;

Adakah tuhan itu wujud?
Apa itu kebenaran?
Apa itu seseorang individu? Apa yang membuatkan individu itu tetap sama sepanjang masa?
Adakah manusia mempunyai akal? Jika ada, apakah hubungan akal dengan tubuh badan?
Adakah manusia mempunyai kemahuan (free will) - kebolehan untuk membuat keputusan untuk melakukan sesuatu sendiri tanpa dipengaruhi oleh hal hal luar ( Tiada sesiapa mengarahkan untuk melakukannya) atau kebebasan melakukan sesuatu.

Antara tokoh falsafah yang pakar dalam kajian metafizik ini adalah;
Aristotle
Pythagoras
Socratic
Plato
Democritus
...dan banyak lagi.
...serta, ilmuan Islam yang membahaskan tentang metafizik ini, adalah;
Al-Kindi
Al-Ghazali
Ibn Arabi
Fakhr al-Din al-Razi
Ibn Rushd
...dan banyak lagi.

Pada pendapat saya, ilmu metafizik ini akan berkembang mengikut aliran zaman dan mengikut kajian kajian yang bakal digali lagi oleh ilmuan terkini dan akan datang. Mungkin cara membahaskannya juga akan sejajar dengan cara mengikut aliran zaman tersebut.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...