Thursday, November 18, 2010

antara suami dan anak....

assalamualaikum.... ermph... hari ni tetiba nak bercerita tentang dua insan yang amat...amat...amat penting dalam hidup ku... chenta hatiku.... Shamrul Sihar dan Muhammad RaziQ Syahmi...

inilah dia kekasih hatiku... sorang tepochi... sorang lagi... lawaktes.....aku ni selalu di gelar... lurus bendul.. mungkin sebab aku  ni memang tak pandai 'belok belok'... kalau cakap tu..memang itulah dia..

my mr hubby ni.. suka buat lawak... dan kalau dia cakap tu ada maksud disebalik kata tuh.. bayangkan.. kalau dia cakap lain membawa maksud lain.. bab itu yang aku lemah tuh... sampai kengkadang dia cakap... "ermph...takde apa apa la....hahahaha"... dulu memang cam tak puas hati.. bila dah lama dalam perkahwinan ni.. dah jadi biasa pula...

mungkin nampak macam si bendul.. tapi itulah yang aku amalkan... aku berpegang kepada prinsip, kita masih dalam proses mengenali hati budi masing masing.. berkahwin ialah satu perkongsian hidup..biasakan diri untuk saling berkomunikasi bersama pasangan, baik ketika berada di rumah mahupun ketika sedang berjauhan. Jika ada masalah, sebaiknya dibincangkan ketika kita atau pasangan sedang santai...itulah yang selalu aku lakukan.... cuba mempraktiskan sehingga kini.....

dan satu lagi..ketika seorang lelaki dan wanita berumahtangga dan hidup sebumbung maka sifat sebenar masing-masing akan terserlah..Sikap itu mungkin tidak sama seperti masa  kita berdua di alam percintaan. Yang ada ketika itu hanyalah dua insan orang yang harus saling menyesuaikan diri.Inilah kehidupan perkahwinan yang sebenarnya. Kita dan pasangan belajar mengenali perbezaan masing-masing. Dalam tempoh mengenali ini, kita akan berhadapan dengan beberapa perkara yang boleh menimbulkan konflik. Antaranya seperti perbezaan persepsi, wawasan, nilai, latar belakang dan keperibadian. Namun, perbezaan itu sebenarnya boleh diatasi jika masing-masing saling berusaha memahami dan menilai diri.

dulu...mr hubby ni suka sangat berdalih dan berbohong untuk menjaga hati ini.. kerana dia tak mahu hati ini terluka.. sedangkan hati ini pastinya tercalar dan rasa amat pahit apabila tertipu.. ehehehe..... pantang datuk nenek bila ditipu...rasa macam nak meletop...hahaha...Pasti ramai yang pernah membohongi pasangan masing-masing, bukan? Bagi mr hubby pasti tidak sanggup berterus-terang dengan pertemuan bersama kontraktor kontraktor yang ditemani wanita yang cantik hingga berlarutan ke lewat malam. Agar kita tidak banyak bertanya dan mr hubby sendiri enggan mencetuskan pertengkaran maka dengan mengatakan perkara yang berbeza mungkin dia rasa berbaloi...Dia mungkin berbohong dengan alasan untuk kebaikan. Sebenarnya, perkara ini jika tidak dibendung akan berlanjutan dan lama kelamaan dia akan menganggap berbohong pada pasangan adalah perkara biasa.

Supaya semua ini tidak terjadi maka sebaiknya dia perlu ceritakan saja pada kita bahawa apa yang dia  lakukan adalah untuk urusan pekerjaan semata-mata.tapi...bila dah terbongkar baru nak menyesal...masa tu dah tak berguna kan....dan kebanyakan masa apabila terjerat dengan masalah baru la nak berterus terang... kalau dulu.. hangen mak satu badan... tapi kini... bila dah tau... fikir positif sudah......makan hati berulam jantung lama lama boleh jadi kanser... lebih baik kita let go jerk....tak rugi pon.... :)

dulu...dia kata aku ni cemburu.... cemburu ke aku..? pikir punya pikir....dan cuba buat kajian...ramai yang menyatakan bahawa cemburu itu tandanya sayang. Betul ke? Walaupun ada benarnya cemburu tandanya sayang, itu bukan bermakna kita boleh cemburu buta. Memang banyak perselisihan suami isteri yang berpunca daripada faktor ini. Lazimnya ia bermula dari salah tafsir dan sikap terbuka. aku pun pernah lalui benda yang sama ni.... perasaan cemburu melampau pada mr hubby.. (just share this citer bukan nak aibkan sesapa k... cuma untuk dijadikan pengajaran pd korang...)cemburu bila seorang kawan lama mr hubby tuh macam tak paham bahasa.... tak tahu malu kerana cuba memikat mr hubby...

tapi... tak tau la kebenarannya... mr hubby kata dia yang terhegeh hegeh mengganggu mr hubby i tuh... asyik telefon dan panggil mr hubby "sayang"... sebagai manusia... of course la i cemburu.... tapi tak la sampai membabi buta.... dah ada bukti tuh... then baru la bole dibawa ketengah....berasap asap rasanya...hahahaha..... yelah... cuma nak dia berikan sebab musabab jer.... bengang la... 

lelaki kan susah nak berkongsi citer masa silam dorang ni.. mr hubby pun tak terkecuali... bila i dah mengamuk... baru la dia nak citer duduk perkara sebenar.... kesian pula...... tak jadi nak marah... timbul rasa simpati pula.... perempuan tu kawan masa dia sekolah dulu.. kenal masa sekolah rendah... tapi tak pernah ada perasaan pada perempuan tuh.. perempuan tuh jerk yang terlebih feeling kat mr hubby... sampai bila dah kawen pun perempuan tu still contact dia... mr hubby serba salah.. tak layan di kata sombong... bila melayan di salah anggap...

sampai satu hari yang indah tu.. tetiba aku terbaca mesej dia... MELAMPAU.. dia panggil mr hubby i.. SAYANG... perghhhhhh...... geram beb... apa lagi.... tahap kesabaran dah tak terbendung... amarah dah sampai kepuncak... barulah dia nak terus terang.. dia tak pernah anggap perempuan tu lebih dari kawan.. dia layan perempuan tu sebab dia kesian ngan perempuan tu.. tapi aku tak peduli... aku pun tanya ngan mr hubby.. kalau kawan takkan la bersayang sayang... bila mr hubby terangkan a-z barulah aku faham..dia kata perempuan tu dah menjeng agaknya... tak paham bahasa.... dah ada suami tapi still nak ganggu hidup dia.. bahkan dah ada anak tu... tapi perangai.. nauzubillah..... mengalahkan perempuan.......

ermph...tapi itu kisah silam mr hubby... kini kami bahagia.... kerana semua itu adalah pengalaman hidup... takde pengalaman sebegini maka tak adalah kemanisan dalam hubungan... kannn???

yang penting aku ingatkan sangat sangat kat mr hubby.. berkawan boleh..tapi jangan sampai berlaku kecurangan di antara kami...curang dengan pasangan selalunya terjadi kerana masing-masing tidak mahu saling terbuka atau mendengarkan apa yang dirasai atau dikeluhkan oleh pasangan. Contohnya, mr hubby selalu merasa bengang kerana aku selalu sibuk meeting ngan klien.. Tapi keluhan itu tidak disampaikan secara direct...jadi salah satu jalan dengan meluahkan dengan kawan perempuan dia tu... tak sangka keluhan dia disalah ertikan oleh perempuan yang menunggu masa untuk mencari alasan meruntuhkan lagi hubungan kami... nasib baik aku cepat menyedari kesilapan itu...Kecurangan juga berlaku kerana pasangan kesepian, atau godaan dari luar seperti  wanita perayu yang mengambil kesempatan dan lain-lain..Bagi menyelesaikan masalah ini, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mencari punca permasalahannya, kemudian berusaha untuk dihindari atau disingkirkan. itulah yang aku lakukan semasa kami di ambang permasalahan...

itulah yang kami cuba implement dalam kehidupan kami...dulu.... aku berbeza sekali... macam tak bole nak terima .. tapi bila dah lama lama... semua ni menyeronokkan.. sangat sangat... :) ..melihat apa yang berlaku selama 10 tahun ni... terlalu besar impaknya kini... :) aku sedar.. kita sebagai insan yang lemah sentiasa diuji oleh yang Maha Adil kerana inginkan kita ini tidak lalai dan leka dengan nikmat yang DiberiNya...

Berhadapan dengan permasalahan rumahtangga, perasaan emosi memang membuak-buak. Namun, jangan terbelenggu dengannya. Berdoa dan pasrahkan diri kepada yang maha Pencipta agar emosi tidak mempengaruhi tindakan dan permasalahan dapat diselesaikan dengan segera.

kini aku bahagia dan amat bahagia bersama kedua dua insan yang amat amat penting didalam membangunkan aku sebagai seorang makhluk Allah dimuka bumi ini..... :)


Kita tak layak menghukum.....

Kita ini semuanya sama  tiada beza yang tua mahupun yang muda ...Jangan menyombong atau takbur sesama manusia Sekalipun kita berpangkat atau berilmu kerana disisi Allah kita semuanya sama ..Kata ustaz hangan kita hina orang yang lemah yang kurang berada mahupun yang kurang paras rupa ..tiada beza yang mengerjakan sawah mahupun yang membina perumahan mewah Kerana disisi Allah kita semuanya sama....amalan kita yang membezakan antara kita.....

Kata ustaz lagi jangan kita hina budak kecil yang comot lagi berhingus kerana dia tiada dosa sedangkan kita aetiap waktu dan ketika memenuhi hati kita dengan titik-titik noda dalam tidur, dalam jaga..lebih lebih lagi kepada mereka yang bersifat munafik....

Akhirnya ustaz berpesan, Ingatlah! Kita manusia semuanya adalah sama yang membezakan kita hanyalah AMAL dan TAQWA Biarlah kita kurang dimata manusia Tetapi tinggi disisi ALLAH

Peliharalah diri kita  agar tidak dinodai dengan suasana sesungguhnya diri kita ini  ada harga diri yang tidak ternilai mahalnya...

Segalanya UjiaN ALLAH menguji KEIKHLASAN bila bersendirian... ALLAH memberi KEDEWASAAN bila ada masalah... ALLAH melatih KESABARAN dalam kesakitan... ALLAH tak PERNAH ambil sesuatu yang kita sayang TANPA menggantikan dengan yg lebih baik... .

SAHABAT SEJATI apabila ingin berteman,jgnlah krn KELEBIHANNYA,krn mungkin dengan 1 KELEMAHAN, kau akan MENJAUHINYA... andai kau ingin BERTEMAN, janganlah krn KEBAIKANNYA, kerana dgn 1 KEBURUKAN, kau akan MEMBENCINYA... andai kau ingin berteman, janganlah kerana ILMUNYA, kerana apabila dia  BUNTU, kau akan MEMFITNAHNYA... . andai kau ingin berteman janganlah kerana sifat CERIANYA, kerana andai dia MURAM, mungkin kau akan MENJAUHINYA... Andai kau ingin berteman... ..TERIMALAH dia seadanya kerana dia juga MANUSIA BIASA SEPERTIMU... .

Moralnya: Kita semua ada kelebihan ada kekurangan… jangan sesekali kita pupuk dalam diri kita sifat suka mencari2 kekurangan, keburukan org lain, Renunglah diri sendiri…jangan mata kita hanya melihat KOYAK di kain org lain sedangkan kita lupa kain di badan kita yg mungkin TERKOYAK... Tutuplah keaiban org lain semoga ALLAH menutup keaiban diri kita..insyaAllah.. kepada mereka yang telah melihat KOYAK di kainku ini, ingatlah... benda yang didengar itu belum tentu benar atau tidak.. andai tidak benar..maka... fikir fikirkanlah...... (peringatan buat diriku jua)...

Pemanduan Selamat Pulang Beraya...

Assalamualaikum.. hari ni nak share sikit pasal cara pemanduan selamat... bukan apa....setiap tahun puluhan ribu kemalangan jalan raya dicatatkan, terutama ketika musim perayaan yang bukan saja menyebabkan kehilangan nyawa, malah turut menyebabkan kerugian harta benda, bayaran ganti rugi oleh syarikat insurans, siasatan polis, kes mahkamah serta tekanan emosi di kalangan mangsa.

Sebahagian kemalangan itu boleh dielak jika semua pemandu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memastikan keadaan kenderaan sentiasa sempurna, terutama sebelum perjalanan jauh, mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan, bersabar dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Kadang-kadang, hanya kerana mahu berjimat atau suka bertanggung, tidak menukar tayar atau pad brek yang sudah haus menjadi punca kemalangan maut, menyebabkan kehilangan orang tersayang. Berikut ialah sedikit panduan yang diharap dapat membantu pembaca menjadi pemandu berhemah.

* SENTIASA memakai tali pinggang keledar ketika memandu dan tegaskan penggunannya kepada penumpang.

* JANGAN memandu melebihi had kelajuan. Patuhi dan sentiasa kekalkan pemanduan pada had kelajuan dibenarkan dalam apa jua keadaan.

* SENTIASA kekalkan jarak selamat antara kereta dengan kenderaan hadapan. Jika memandu ketika hujan lebat, kekalkan lebih jarak antara kereta dengan kenderaan di hadapan atau belakang.

* KETIKA memandu, kita tidak dapat menjangkakan ada pemandu lain yang melakukan kesilapan. Jangan bergantung kepada pengguna jalan raya lain untuk memastikan keselamatan anda.

* JANGAN pandang secara tepat lampu kereta dari arah bertentangan kerana ia menyilaukan mata. Pandu lebih ke bahagian kanan dan menjadikan garisan putih sebagai panduan sehingga kereta bertentangan berlalu.

* SENTIASA peka dan berhati-hati sebuah kereta membelok dengan tiba-tiba untuk mengelakkan lopak air atau lubang besar di jalan raya atau mengelakkan kon pembahagi jalan atau kereta rosak.

* MEMANDU dalam keadaan cuaca buruk terutamanya ketika hujan lebat sangat sukar. Tayar kereta mungkin hilang kuasa tarikan pada permukaan jalan basah. Pandulah kereta dengan perlahan jika jalan dipenuhi air.

* KETIKA memandu di lebuh raya, sentiasa berjaga-jaga kerana pemandu lain mengubah lorong dengan tiba-tiba untuk keluar.

* JANGAN biarkan emosi menguasai gaya pemanduan anda kerana ia menyebabkan keburukan dari kebaikan. Awasi tahap panas baran ketika menggunakan jalan raya.

* ELAK memandu jika letih. Jika penat, berhenti dan keluar dari kereta seketika dan lakukan senaman ringan menyegarkan badan atau berhenti menikmati secawan kopi yang pastinya membuatkan diri lebih segar dan peka.

* ANDA dinasihatkan memandu kenderaan diselenggara dengan baik. Periksa sistem penyejukan, brek, tahap cecair brek, tali sawat, tayar,minyak enjin, lampu dan pengilap cermin sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

* PERHATIKAN kereta di hadapan selama 15 hingga 20 saat atau lebih untuk melihat dan menyedari sesuatu situasi merbahaya atau sebarang masalah bagi mengelakkannya, supaya anda boleh menekan brek dengan pantas.

* JIKA anda ingin mengubah lorong, sentiasa pandang ke belakang menerusi cermin supaya mendapat kelegaan dan keyakinan berbuat demikian.

* PERIKSA keadaan tayar kereta anda. Pastikan tekanan angin mencukupi dan corak bunga tayar masih ada untuk mendapat pemanduan serta cengkaman baik. Ia menjamin keselamatan anda ketika di jalan raya terutama sekali sewaktu memandu dalam cuaca buruk.

* TEMPAT paling selamat untuk kanak-kanak ialah bahagian tengah tempat duduk belakang. Kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah haruslah ditempatkan dalam tempat duduk khas dan dipasangkan tali pinggang keselamatan.

Sunday, November 14, 2010

PSP vs Game Boy




assalamualaikum.... antara favorite tomei aku ialah bermain benda ni... bole sampai ketagihan... nampak gayanya kena start buat kawalan ketat untuk dia.. tak mo nanti menjejaskan pelajaran dan akal fikiran dia... hihihi...

kalau ikutkan dia nya PSP ni pattern lama... dah 3 tahun bersama dengan tomei aku ni... dah bape kali terhempas... bape kali tercampak... tapi alhamdulillah.... masih lagi bertahan hingga la ni...

ni masa tahun 2009... kat kota tinggi masa family day... seronok sakan dia main PSP ni.. sampai habis bateri... memang sengaja buat cam tuh... supaya dapat la dia mandi manda...  ntah kenapa tetiba dia havoc balik main PSP ni.. rasanya dah lama dah dia tak hiraukan PSP dia.. mungkin ni sebab dia dah lama sangat tak main PSP kot....
yang ini gift from my friend... masa besday raziQ.. masa mula mula dapat dulu bukan main... asyik berkepit jerk ngan game boy dia ni.. tapi sekarang.. ntah mana mana dia letaknya barang ni....

Beza dengan kita dulu dulu.. nak dapat benda ni semua... perghhhh.... rasanya memang tak dapat ler.... nak..? kalau nak kumpul la duit... beli sendiri kan..? bebudak sekarang ni.... untung bebenar... nak itu.. ada.. nak ini.. ada... tapi.. bila dah mudah nak dapat sume ni... tak pandai pula nak menjaganya....

tadi bisingkan raziQ pasal dia complaint pasal PSP dia.. dia nak beli yang baru.. dia kata PSP dia ni dah tak standard.. geram jerk dengar... ngadu ngan atok... atok pun apa lagi... kesian cucu aku tuh... ish ish ish.. kononnya beri hati kat cucu.. tapi cucunya anggap lain.. "mummy.. atok pun kesian tengok raziQ tau.. mummy ni cam takde perasaan..tak sayang kan raziQ agaknya..." ish.. kasih sayang mummy di ukur dengan PSP ke sayang oi... then... kena la pula mummy terangkan dengan raziQ menggunakan kaedah reverse psikologi.. kan  dah kena... hehehehe......

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA.




Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘SAW dan buat keluarga dan Sahabat Baginda. 

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : 

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. 

Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . 

Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 

Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. 

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”. 



JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 

Pertama : 
Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 

Kedua : 
Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 

Ketiga : 
Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 


Keempat : 
Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi). 

Kelima : 
Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid). 

Keenam : 
Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 

Ketujuh : 
Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 

Kelapan : 
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. 

Kesembilan : 
Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu. 


Kesepuluh : 
Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Semoga perkongsian ilmu kita ini mendapat keberkatan dari Allah SWT..
Harapanku untuk ke Rumah Mu Ya Allah.. Lorongkanlah aku Ya Allah... Permudahkan perjalananku Ya Allah.....

Dua Kejahatan Di Segerakan Balasannya Di Dunia

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”

(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa balasan kepada kedua-dua maksiat tersebut di atas akan mendapat balasannya secara tunai di dunia ini sebelum azab yang lebih dahsyat akan diterimanya di hari akhirat nanti.

Dua dosa besar iaitu melakukan zina dan menderhaka kepada dua orang tua adalah perbuatan dosa yang tidak ditangguhkan Allah hingga hari kiamat tetapi diberi balasan kerana perbuatan tersebut meroskan keturunan dan menafikan hak dan kemuliaan orang tua yang melahirkan dan membesarkannya.

Pertama : Kejahatan zina.

Dalam sebuah hadis, baginda s.a.w. ada bersabda maksudnya : "Wahai orang yang beriman, takutilah kamu akan zina, kerana akibat daripadanya ada enam perkara, tiga di dunia dan tiga lagi akan berlaku di akhirat.

Ada pun yang berlaku di dunia ialah :

1. kehilangan keceriaan wajah,

2. pendek umur dan

3. sentiasa dalam keadaan susah.


Manakala tiga balasan di akhirat ialah :

1. kemurkaan Allah,

2. balasan yang buruk, juga

3. azab di Neraka. "

Rasulullah menjelaskan bahawa apabila seseorang itu berzina, maka akan keluarlah iman daripada dirinya seumpama awan yang melindungi atas kepalanya, kemudian apabila ia hilang, iman itu kembali semula.

Dalam sebuah hadis lain, riwayat Al-Hakim, baginda bersabda maksudnya : "Barang siapa berzina ataupun minum arak, Allah cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya."

Hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang tidak dijelaskan di sini menyatakan bahawa seorang hamba yang melakukan zina, imannya telah keluar daripada dirinya. Bermaksud andainya dia benar-benar beriman kepada Allah, dia tidak akan berzina.

Apabila seseorang itu telah terjebak dengan zina, dia akan ketagih dan sentiasa terangsang. Tidak ada sesuatu pun yang hendak ditakutkan, lebih-lebih lagi sekiranya kedua-dua pihak pandai menyimpan rahsia, tidak mengandung dan tidak ditangkap basah. Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan memahami hukum syariah, dia akan memahami bahawa zina itu adalah termasuk dalam salah satu dosa besar yang membinasakan.

Sekiranya seseorang itu terlepas daripada balasan dunia, kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan, tiada undang-undang zina atau kerana sebab lain, balasan di akhirat tetap sedia menanti kecuali mereka yang bertaubat.

Allah berfirman maksudnya : "Mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian, nescaya dia mendapat balasan dosanya, akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina, kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah maha pengampun lagi maha penyayang."
(Surah al- Furqan ayat 68-70).

Bukan sahaja perbuatan zina itu larangan Allah, bahkan berjinak-jinak dengan punca-punca terjadinya zina juga dilarang.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan."
(Surah Al-Isra’ ayat 32)

Imam Ahmad mengatakan:
”Aku tidak tahu ada dosa yang lebih besar setelah membunuh jiwa daripada zina.”

Kepapaan boleh berlaku kerana perbuatan zina menyebabkan lahirnya anak zina yang tiada hak untuk mendapat harta pusaka.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : ”Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam Neraka adalah mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmizi)

Ibnu Mas’ud r.a berkata: ”Tidaklah muncul riba dan zina pada suatu daerah kecuali Allah akan mengizinkan kehancurannya.”

Akibat daripada berleluasanya zina maka lahir penyakit berjangkit dan kerosakan akhlak dalam masyarakat. Ia menimbulkan pecah belah keluarga dan krisis rumah tangga. Dan kerosakan keturunan manusia dengan lahirnya anak tak sah taraf (anak luar nikah). Kesemua ini menyebabkan keruntuhan budaya dan tamadun hidup manusia. Apabila berlaku demikian, hati tertutup untuk menerima taufiq dan hidayah daripada Allah s.a.w. .Memohonlah keampunan daripada Allah s.w.t. atas segala kemungkaran yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Islam memandang jenayah zina sebagai satu jenayah yang sangat keji dan tidak bermoral. Ia bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi juga merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah tanpa bapa sekaligus membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jika zina dan riba sudah muncul di suatu qaryah bererti mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk diseksa oleh Allah s.w.t."

Sabda Nabi saw lagi maksudnya : “Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.

Sebuah lagi hadis maksudnya : “ Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam Neraka dapat mengganggu ahli Neraka kerana sangat busuknya. ”

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan."
(Surah Al-Israk ayat 32)

Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.

Sahabat,
Marilah kita jauhi dan cuba membaiki masyarakat kita supaya gejala sosial yang parah seperti berzina ini dapat kita elakkan berlaku. Semua pihak samaada ibu bapa, guru-guru, jabatan agama Islam, jemaah Islam, persatuan bukan kerajaan (Islam), pihak penguasa polis . Rela, majlis perbandaran dan ahli jawatan kuasa masjid hendaklah bersatu tenaga menyekat dan menghalang daripada perkara maksiat berlaku dimerata tempat. Ketegasan pihak berkuasa adalah amat diperlukan untuk mengenakan undang-undang yang lebih tegas untuk mereka-mereka yang berdua-duaan dan menghampiri zina. Sekiranya diperingkat awal dapat dicegah maka gejala zina dan buang anak akan dapat di atasi insya Allah.

Kedua : Kejahatan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Islam meletakkan kewajipan terhadap setiap anak agar mentaati ibu dan bapa. Perintah itu bukan setakat meletakkan seseorang anak melakukan kebaikan, tetapi sebagai bukti keimanan dan ketaqwaan.

Sesiapa yang menderhaka terhadap ibu bapanya bakal menjerumuskan dirinya ke dalam api Neraka.

Firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa.”
(Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.”
(Surah an-Nisa, ayat 36)

Jelas, betapa pentingnya setiap anak menghormati ibu bapanya. Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi.

Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan Muslim.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.”
(Hadis riwayat Tabrani).

Hadis itu menjelaskan ‘tidak menghormati orang tua’ sudah dianggap boleh bukan daripada golongan Muslim. Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji.

Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa. Undang-undang manusia juga melarang sebarang perbuatan mencederakan fizikal terhadap seseorang. Hukuman daripada Allah tentulah lagi besar menanti di akhirat.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat berkat dalam kehidupan. Perhatikan nasib mereka yang membelakangi ibu bapa dalam kehidupan. Biarpun, secara luaran nampak ceria dan berjaya, hakikatnya mereka dalam pembalasan daripada Allah.

Pelbagai bentuk pembalasan daripada Allah diperlihatkan kepada anak derhaka. Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa.

Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan ‘kasar’ juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”
(Surah al-Isra, ayat 23).

Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia.

Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),” lantas ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang boleh melaknat (mencaci maki) ibu bapanya sendiri?”.

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang melaknat (mencaci maki) ibu atau bapa orang lain (kerana sebab-sebab tertentu), maka orang tersebut membalas cacian itu dengan mencaci maki (melaknat) ibu bapa yang mencacinya”.

Berdasarkan kepada hadis tersebut juga maka dapat disimpulkan bahawa Islam bukan sahaja menjadikan perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar, malah perbuatan mencaci maki, laknat melaknat yang menbabitkan mereka juga dikategorikan sebagai dosa besar.

Caci maki ibu bapa orang lain, serupa mencaci ibu bapa sendiri. Sesorang mungkin tidak menyedari bahawa dengan mencaci maki ibu bapa orang lain juga dikira seolah-olah mencaci ibu bapa sendiri. Itu semua tidak sepatutnya berlaku di kalangan orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”
(Hadis riyawat Imam Bukhari )

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Sahabat yang dikasihi,
Banyak kita mendengar kisah-kisah benar berlaku apabila seseorang menderhaka kepada kedua ibu bapanya maka balasannya akan diterima di dunia lagi secara tunai. Kisah seorang sahabat Nabi s.a.w bernama 'Alaqamah telah menyakiti hati ibunya bila di saat dia nazak dia tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah hinggalah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucapkan kalimah syahadah.

Kisahnya seperti berikut :
Pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w , seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama ‘Alaqamah, apabila ajalnya sudah hampir tiba , keluarganya sudah berkumpul dan mereka mengajarkan untuk mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illallaah” beberapa kali tetapi sia-sia. Mulut ‘Alaqamah terkunci. Akhirnya mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w , dan baginda menyuruh beberapa orang sahabat melihat akan hal itu, keadaan ‘Alaqamah tetap seperti itu juga tidak berubah , mulutnya tetap terkunci.

Nabi s.a.w menyuruh agar membawa ibunya kepada baginda .Setelah tiba ibu ‘Alaqamah ,baginda bertanya mengenai diri ‘Alaqamah, dan ternyata dia agak kecil hati pada anaknya , dan dia tidak mahu mema’afkan kesalahannya.

Dengan helah Nabi s.a.w mengatakan kepada para sahabat yang ada di sana, supaya mengumpulkan kayu kering, dan tatkala di tanya sahabat apa gunanya, Nabi s.a.w mengatakan untuk pembakaran ‘Alaqamah di hadapan ibunya. Mendengar yang ‘Alaqamah akan di bakar, maka ibunya dengan menangis, mengatakan, agar janganlah anaknya di bakar, dan dia bersaksi kepada Allah dan Muslimin yang ada di majlis itu mengatakan redhalah akan ‘Alaqamah, dan mema’afkan akan dia.

Setelah itu Nabi s.a.w menyuruh sahabat menjenguknya . Belum sempat mereka mengajarkannya lantas ‘Alaqamah terus mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illa llaah” dengan fasih dan lancar , dan dia pun mati dalam kalimah itu.

Sahabat,
Hanya mereka-mereka yang beriman dan bertaqwa saja dua kejahatan yang termasuk di dalam dua dosa besar dan disegerakan balasannya di dunia ini dapat dijauhi. Keran iman yang tertaman dihati ini akan melahirkan jiwa yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t. dan menjauhi segala dosa dan larangan daripada Allah s.w.t. Jika kita telah melakukan kesalahan dan dosa segeralah bertaubat kepada Allah s.w.t dan mohonlah ampun kepada kedua ibu bapa sebelum mereka kembali menemui Allah s.w.t dan ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.


Saturday, November 13, 2010

Jantung hati.... jantung hatiku......

Saya akan cerita serba sedikit tentang jantung. Banyak pelajaran berguna yang saya pelajari daripada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji). Jantung amanah. Dia tidak pernah mencuri. Jantung ini ada satu otot, namanya endocardium. Endocardium ini tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya. 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam semula. Tidak pernah sesekali dia menggunakannya buat keperluan dirinya. 

Sekiranya coronary artey tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri.. Apa yang akan terjadi? Kematian. Dan jantung menujukkan satu lagi sikap, lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan. 

Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada "team work". Jantung mengepam 5 liter darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat. Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah. 

Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi arahan ketuanya. Dia tidak akan datang lambat. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku "sudden cardiac death". Jantung akan tiba-tiba mati. 

Satu lagi perkara mengenai jantung - dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung. Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar - menjadi continuous learning person. Jangan berhenti. Exam bukannya terminal (penamat) segalanya-galanya. Sebagai seorang muslim, perlu belajar sehingga ke liang lahad. 

Jantung ini patuh pada siapa?? Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada saya dan awak, dah lama jantung mati. Contohnya, awak beri arahan, sekarang berdegup cam gini... cam gini... Lepas tu, awak beri lagi arahan... berdegup cam gini... cam gini... Awak akan jadi gila, dan jantung juga akan mati kerana mematuhi peraturan yang tidak masuk akal. 

Kadang kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun, jantung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat awak dan saya, bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya. 

HARGAILAH JANTUNG ANDA... .. 

WASSALAM... 

Finally, whatever I do, I always remind myself that I am doing it for the sake of God. As stated in the Quran, "Say: Truely, my prayer, my service of sacrifice, my life, and my death are (all) for God, the Cherisher of the Worlds" (6:162). May Allah S.W.T. accept my humble efforts.Amiin. .. ALLAHUMMA a'iz al Islam wa al Muslimin!

"O Allaah, place light in my heart, light in my tongue, light in my hearing, light in my sight, light behind me, light in front of me, light on my right, light on my left, light above me and light below me; place light in my sinew, in my flesh, in my blood, in my hair and in my skin; place light in my soul and make light abundant for me; make me light and grant me light."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...