Thursday, October 20, 2011

Kisah Cinta dan Kasih Sayang yang tiada berpenghujungnya....


Minggu ni memang minggu romantis...

Kisah cinta tak berkesudahan... masih mood honeymoon kot.....Bila ada yang bertanya, takkanlah selama dalam alam perkahwinan semuanya indah...? Tak pernah ke berlaku perbalahan atau persengketaan..?

ermph.... apa ye jawapan nya....mungkin ini jawapannya....

Semua orang yang berpasangan ingin mempunyai sebuah perhubungan yang sentiasa ceria, kukuh, mantap, penuh dengan cinta dan romantik, dan juga kalau boleh tidak berlaku konflik di dalamnya.

Namun “tradisi” dalam perhubungan itu sendiri tidak memungkinkan ia bebas dari berlakunya perselisihan faham, “bermasam-muka”, terasa hati dan “perkara-perkara yang sewaktu dengannya.”

Kalau nak bertengkar pun mestilah bertengkar dengan bersebab. Tak perlu bergaduh besar dan tidak perlu terlalu mengikut emosi bila keadaan menjadi tegang. Jangan sampai menyimpan perasaan tidak puas hati dan jangan langsung membenarkan perasaan ini bertambah dalam diri.

Masalah utama kebiasaannya ialah perasaan tidak puas hati dan geram. Ia umpama barah yang merebak tanpa disedari dan mempengaruhi dalam tindakan dan perkara yang lain. Bila perasaan ini semakin terbina dalam diri, bertambah dan berkembang, ia mula memberi kesan ke atas persepsi kita terhadap pasangan.

Perasaan tidak puas hati adalah perasaan marah atau geram yang terkumpul atau bertambah secara perlahan-lahan dalam diri seseorang akibat daripada melakukan atau memberi sesuatu dengan berlebihan berbanding dari apa yang diperolehi. Memberi dengan berlebihan dari apa yang kita dapat semula adalah baik sekiranya ia berpada-pada. Namun, tiba pada satu masa ini akan membuatkan seseorang itu rasa ditipu atau dipermainkan.

Lelaki bukanlah satu kejadian yang dapat memahami diri kita dengan mudah. Sekiranya kita tidak memberitahu dan tunjukkan kepadanya bila dia melakukan sesuatu yang melukakan hati kita, kebarangkalian dia terus melakukan perkara yang sama itu tinggi kerana dia tidak tahu, tidak sedar yang dia telah melukakan anda. Ini pasti akan menambahkan lagi luka di hati kita kerana kelihatannya dia hanya “buat bodoh” seolah-olah tidak ada apa pun yang berlaku

Sebagai orang yang matang dan dewasa, konflik sentiasa dihadapi dalam sesuatu perhubungan intim dan istimewa. Kalau kita ingin berada dalam sesuatu perhubungan dan dalam masa yang sama kita tidak mahu mengambil risiko,kita perlu lupakan sahaja idea atau impian untuk berpasangan apatah lagi berkahwin. Terlibat dalam sebuah perhubungan sebagai seorang yang matang dan dewasa bermakna kita perlu dan mesti berhadapan serta mengambil risiko.

Ada masanya kita perlu berkata sesuatu, menunjukkan, dan menegaskan sesuatu perkara dan bertanya sesuatu soalan yang kelihatan seolah-olah memalukan atau melukakan dia. Sekiranya kita tidak mampu atau tidak boleh mengambil risiko dalam perhubungan bersama dia, sesuatu yang pasti, kita tidak mungkin jadi semakin intim dengannya. Tentang isu tertentu yang kita rasa pasti kita tidak perlu timbulkan, maka janganlah langsung kita timbulkan perkara tersebut.

Memendam perasaan marah memberi kesan ke atas bahagian yang paling penting dalam diri setiap wanita seperti saya. Ini adalah bahagian yang kita semua miliki dalam diri kita. Ia adalah separuh daripada psikologi kita yang dipanggil bahagian yang mempunyai tindakan luar sedar dan tugas utamanya adalah untuk melindungi dan membolehkan kita terus hidup.

Sewaktu kita kecil, bahagian ini bertanggungjawab dalam membantu untuk kita terus hidup dan mendapat kekuatan. Bila kita rasa terancam, bahagian luar sedar ini mula bertindak sebagai pertahanan untuk keselamatan diri apatah lagi bila ibu bapa atau penjaga kita tidak melakukan sesuatu, HATI kita akan mula bertindak dalam mod untuk menyelamatkan kita.

Dalam usaha untuk membuatkan hati kita rasa tenang, hati kita akan berkata, “Aku tak perlu rasa disayangi. Percayalah, aku akan ok tanpanya”. Hati kita perlu “menipu” dan menyakinkan kita bahawa apa juga kehilangan yang kita rasakan adalah tidak penting dan kita tidak perlu rasa kecewa. Ini membolehkan kita membesar dan dalam masa yang sama kita tidak sedar betapa sebenarnya kita sangat memerlukan kasih sayang dan belaian.

Perkara seperti ini mungkin berjaya dilakukan dengan baik ketika zaman kanak-kanak dan kemudian kita pun dewasa. Semakin kita meningkat dewasa, sesuatu dalam diri kita mula berkata, “Tidak, sebenarnya aku inginkan satu perhubungan di mana aku disayangi, dibelai dan dimanja”. Jadi kita mula membenarkan orang lain mendekati kita dan sebagaimana dalam “dating”, perkenalan, percintaan, berpasangan, atau pun perkahwinan, pada peringkat awal hampir segalanya amatlah indah.

Namun apabila kita terluka atau terasa hati, kita selalu bertindak primitif dan segalanya dirasakan bersifat peribadi. Ini sebabnya kebanyakan lelaki dilihat sukar untuk memberi komitmen dan kebanyakan wanita sukar untuk membenarkan seseorang mendekatinya atau mempunyai sebuah perhubungan yang berkekalan. Hati mereka percaya mereka masih lagi memerlukan perlindungan walaupun ini akan menjauhkan mereka daripada sebuah perhubungan yang mereka sangat inginkan.

Dan apabila kita sudah membuat pilihan, walau apapun yang berlaku, menjadi tanggungjawab kita... Cinta bukanlah daripada kata-kata, tetapi sebuah keinginan yang diberikan kepada hati yang memerlukan. Cintailah seseorang itu atas dasar siapa dirinya sekarang, dan bukan siapa dia sebelumnya.

Malah, kisah lampau yang berlaku tidak perlu diungkit lagi sekiranya hati benar-benar menyintai dirinya. Sememangnya hidup bercinta dan untuk dicintai amat mudah, tetapi untuk dicintai oleh orang yang kita cintai sukar diperolehi...

Justeru itu, saya amat jelas dengan cinta dan kasih sayang yang saya curahkan kepada siapa. Seorang yang berjaya menakhluki jiwa dan hati saya.Seorang insan yang bergelar suami. Dan hanya dia yang mampu memiliki cinta saya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...